Thursday, August 21, 2008

Pelajar UiTM dipaksa berdemonstrasi

'Kami dipaksa, jika ingkar tarik balik kemudahan, diberhentikan' - Pelajar UiTM

KEBANYAKAN pelajar UiTM di serata cawangan telah diarah dan dipaksa mengadakan demonstrasi pada 14 Ogos lalu.

Seorang pelajar dari universiti cawangan Perak bersama bapanya menghubungi Suara Keadilan melaporkan mengenai arahan tersebut.

Menurut kenyataan pelajar berkenaan, beliau telah diarah dan dipaksa oleh pihak pentadbiran universiti yang mana pihak itu telah mendapat arahan dari Naib Canselor institusi tersebut, Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

"Saya telah dipaksa melakukan demonstrasi. Saya tak ada pilihan lain. Saya terpaksa ikut arahan, demonstrasi yang saya lakukan itu dibuat tanpa rela hati," jelas pelajar tersebut.

Pelajar itu berkata, arahan tersebut kemudiannya diberikan kepada Pengarah Kampus itu, Prof Dr Abdullah Mohamad Said untuk disampaikan kepada YDMPP, Abdul Qaiyum Abdul Razak.

Menurutnya, sehari sebelum demonstrasi diadakan, pihak pentadbiran UiTM telah mengeluarkan pekeliling yang mengandungi arahan supaya pelajar menganjurkan demonstrasi tersebut.

"Dalam pekeliling tersebut, saya telah diarah untuk melakukan demonstrasi membantah Menteri Besar. Saya juga dimaklumkan jika mana-mana pelajar yang ingkar, semua kemudahan yang diberikan oleh UiTM akan ditarik balik dan kemungkinan akan diberhentikan dari pengajian," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau terpaksa mengikut arahan tersebut kerana takut akan diberhentikan dan ditarik balik kemudahan yang disediakan.

Tambahnya, sebelum demonstrasi diadakan, beliau telah diarah berkumpul bersama pelajar lain untuk mendengar arahan daripada YDPMPP. Sebelum itu, katanya, YDPMPP berkenaan telah mendapat skrip untuk dibacakan kepada pelajar.

"Dalam skrip yang dibacakan itu, saya telah diarah supaya menyembunyikan perintah itu bahawa sebenarnya ia dikeluarkan oleh Naib Canselor UiTM malah saya juga dihalang memberitahu kepada mana-mana pihak tentang kenyataan pihak itu yang memburukkan Menteri Besar.

"Saya juga diberitahu agar merahsiakan arahan itu merupakan inisiatif Prof Ibrahim sendiri dan ini bukan perhimpunan politik," katanya.

Menurutnya, beliau juga telah melakukan kerja-kerja penyediaan peralatan untuk melakukan demonstrasi berkenaan.

"Sehari sebelum demonstrasi diadakan, saya terpaksa menyiapkan sepanduk dan kain rentang untuk dibawa semasa demonstrasi. Saya juga telah diberi sehelai kemeja-t berwarna hitam untuk perarakan tersebut," katanya.

Beliau berkata, pada hari perarakan itu, dia telah berkumpul bersama pelajar lain sejak pukul 2:30 petang sambil menyanyikan lagi rasmi UiTM serta lagu patriotik seperti 'Anak Kecil Main Api' serta membawa sepanduk bertulis 'Hidup Melayu', dan 'Jangan Jual Bangsa Melayu' sambil melaung-laungkan kemarahan terhadap Khalid.

Pada awal tahun ini, katanya, beliau telah menerima arahan daripada Naib Canselor bahawa peraturan pelajar antaranya tidak boleh melakukan sebarang demonstrasi.

"Mereka sendiri yang suruh saya jangan buat atau sertai mana-mana demonstrasi, tetapi mereka sendiri yang langgar peraturan universiti," tegas pelajar itu.

Sementara itu, bapa pelajar itu meluahkan rasa kesal serta kemarahannya berhubung tindakan yang dilakukan pihak universiti tersebut.

"Saya kesal kerana pihak universiti ataupun BN telah menggunakan pelajar-pelajar dan memperalatkan mereka sedangkan banyak lagi isu-isu yang membelenggu rakyat yang sepatutnya diperjuangkan sesuai dengan taraf pendidikan mereka di menara gading," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan pihak UiTM itu biadap dan tidak bertamadun.

"Sepatutnya, sebagai orang terpelajar iaitu pemimpin dan penuntut, mereka boleh menggunakan pelbagai saluran yang ada seperti menemui pemimpin kerajaan yang memberikan idea tersebut dengan cara beradat dan bertamadun dan bukan secara melulu, biadap serta diperalatka oleh Biro Tata Negara yang dimiliki oleh Umno dan BN.

"Tetapi saya menyokong jika anak saya melakukan demonstrasi untuk membantah kenaikan harga barang dan minyak," jelas beliau.

Suara Keadilan juga turut menerima banyak panggilan dari ibu bapa pelajar UiTM dari lain-lain cawangan yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pihak universiti itu.

Pada 14 Ogos lalu, di Ipoh, 9,812 pelajar dari kampus Seri Iskandar berarak ke bangunan pentadbiran untuk menyampaikan memorandum bantahan yang ditandatangani mereka kepada Pengarah Kampus, Prof Dr Abdullah Mohamad Said.

Memorandum itu telah disampaikan kepada Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaludin pada keesokannya.

Khalid dilaporkan pada 10 Ogos lepas mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM, dibuka kepada bukan bumiputra serta pelajar asing.

Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputra yang berdaya saing.

Bagaimanapun, katanya, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputra yang berilmu dan berdaya saing.

1 comment:

amoker said...

And in Uitm Sarawak, the racist slat of "hak Melayu " is changed to "hak Bumiputra" just to get Sarawakians to demonstrate. But i think they had problem getting the numbers too.

The VC should resign for such sydicated lie. He should be impartial. I think after the UUM chap, this guy is another joke for Malaysian academia.